19 November 2013

Sekitar Hari Konvokesyen Anak Sulung- Siti Mashitah



Beratur untuk masuk ke dalam dewan besar Cultural Activity Centre,
International Islamic University Malaysia (IIUM).
Sejambak bunga, hadiah untuk anak sulung di hari konvokesyennya.


Senyuman penuh nikmat.....
Sekalung tahniah diucapkan kepada anak sulungku, Siti Mashitah Mustapha kerana telah berjaya menerima ijazah dalam kos Ekonomi dan Sains Pengurusan yang diambilnya di UIAM pada 17 November 2013 yang lalu. Beliau telah belajar di universiti tersebut selama lima tahun untuk menghabiskan kos tersebut. 

Siti Mashitah di sisi emak dan ayah yang turut meraikan kejayaannya pada hari yang bersejarah itu. Sebagai orang tua, tiada apa yang diharapkan, cuma berdoa agar anak kami akan dapat meneruskan hidup dengan lebih berjaya dan bahagia di samping mendapat pekerjaan yang sesuai selepas menerima ijazah tersebut.


Siti Mashitah di samping adik-adiknya,S.Muslihah, SMunirah, S.Mawaddah dan Ahmad Sufi yang turut meraikan kejayaannya. Dua orang lagi adiknya, S.Murnizah sedang menduduki peperiksaan SPM dan Fauzan sedang belajar di negara jiran tidak dapat hadir.Kejayaan along menjadi pendorong kepada mereka semua.

20 August 2013

Selamat Meneruskan Perjuangan ...

Dalam kehangatan orang lain menyambut hari lebaran, anak kedua kami terpaksa meninggalkan keluarga untuk meneruskan perjuangannya dalam mengejar cita-cita. Berjuanglah wahai anakku selagi terdaya.Emak,ayah serta keluarga akan sentiasa mendoakan kejayaanmu.

Riang Raya 2013

Selamat Hari Raya saya ucapkan kepada semua  ahli keluarga,saudara-mara dan  sahabat handai yang membaca blog ini.. Ampun dan maaf dipinta atas segala  kesalahan.Semoga hari lebaran ini akan merapatkan hubungan silaturahim antara kita semua.

03 July 2013

Satu Kepuasan.....

Penat lelah membimbing murid bagi  menyertai pertandingan yang akan mereka masuki berbayar dengan kejayaan yang diperoleh walaupun tak semuanya menang. Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila tiga orang daripada empat orang murid yang bertanding telah berjaya mendapat tempat johan dalam pertandingan  di Karnival Bahasa Melayu  peringkat Negeri Sembilan. Antara kejayaan yang diperoleh adalah johan bercerita tahap 1, johan pidato dan johan mengarang BM tahap 1. Harapanku agar kejayaan ini akan dapat diteruskan lagi pada pertandingan di peringkat kebangsaan pula. Amin......

07 June 2013

Sekitar Konvokesyen PGSR 2013

Senyuman penuh bermakna tanda rasa puas dengan hasil titik peluh selama empat tahun berjuang untuk mendapatkan segulung ijazah. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini.

Di samping suami tercinta, orang yang banyak berkorban sebelum mencapai kejayaan ini.
Rakan seperjuangan sama sekolah, Faizah Ali.  
Inilah rakan-rakan susah dan senang, mengabadikan kenangan indah di dewan PICC, Putrajaya. Tahniah kepada semua.Tak tahu bila lagi akan berjumpa. Semoga kalian terus berjaya mengharungi kehidupan ini.

30 May 2013

Meneruskan Perjuangan.....



Di sinilah tempat baharu Kakteh untuk meneruskan perjuangannya  dalam mengejar citia-citanya selama ini. Kakteh akan belajar di Kolej Matrikulasi Gopeng  ini selama setahun..
                  
                                            Nah, inilah sebahagian pemandangan di tempat belajar Kakteh.
Bergambar kenangan  dengan kakteh sebelum melepaskannya belajar  di sini.
Emak, ayah, bangah, kakcik dan semua ahli keluarga mendoakan kakteh supaya dapat belajar  dengan bersungguh-sungguh dan beroleh kejayaan di sini. Teruslah  berjuang...



24 May 2013

Warna-warni Tahun 2013

Tugas Baharu Yang Penuh Cabaran.
Memikul tanggungjawab tugas baharu sebagai GPK Kokurikulum,
tiada pengalaman namun tugas tetap diteruskan. 

Bermula dari bulan Mac hingga Jun, bersama  rakan-rakan hakim bahasa, mula sibuk menjadi hakim pertandingan bahasa bagi daerah Seremban 2.Walaupin sibuk, namun kami tetap berasa seronok dapat bertemu dan bertukar-tukar fikiran. 

Menjalankan tugas sambil merehatkan minda di Tiara Beach Resort dalam program Tunas Bakat 1Malaysia.

Gembira dapat bertemu rakan lama dan penulis tersohor Nisah Haron semasa program Tunas Bakat 1 Malaysia. Juga sempat membeli beberapa buah buku hasil tulisan beliau.

Nah, inilah antara murid yang terlibat dalam program Tunas Bakat 1 Malaysia. Kami bergambar di hadapan tempat penginapan yang disediakan.

Satu lagi tugas yang berat, iaitu membina modul  pengajaran dan pembelajaran BM untuk projek Rintis peringkat kebangsaan di Hotel Adamson, KL.Sempat bergambar dengan rakan setugas,Azlina dari Perak.Rasa-rasanya cukuplah sekali ini sahaja, tak sangguplah menjalankan tugas berat ini lagi.

Tugas yang ini amat menyeronokkan,menjadi juri hakim  bagi pertandingan Sahibba peringkat  daerah Seremban. Bermainlah katakan, tidak bosan.

Wajah gembira dan berpuas hati. Hendak berjaya,rahsianya adalah usaha. Anak didik yang berjaya mendapat tempat johan dalam pertandingan bercerita peringkat daerah Seremban 1. Aiman dan Intan.

Satu lagi kejayaan hasil usaha gigih anak didik dalam pertandingan Sahibba peringkat daerah Seremban.Usaha tangga kejayaan. Teruskanlah usaha hingga sampai Kebangsaan. Amin..

Yang ini pertandingan bahaslah pulak.Bergambar dengan murid yang mewakili sekolah. Hanya mampu meraih kejayaan di tempat ketiga sahaja. Namun  tetap gembira dengan kejayaan yang diraih.

 Tarikh keramat 5 Mei 2013, seluruh warga Malaysia mengundi.
Gembira bergambar di hadapan tempat mengundi bersama suami dan anak-anak untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara sebagai pengundi.

 Sambutan Hari Guru pada  setiap16 Mei . Wajah ceria jelas terpancar pada wajah sebahagian warga SKKD sempena meraikan hari tersebut.

Teka mana saya?
Dah pakai replikani tak kenal siapa.Inilah sebahagian warga guru SKKD yang mengabadikan kenangan sempena menyambut Hari Guru 2013.

Meraikan persaraan Kak Saripah sebagai pekerja am SKKD di Hotel Royal Bintang pada 21 Mei 2013. Semoga berbahagia selalu hendaknya dalam  menjalani kehidupan bersama keluarga selepas bersara.