29 July 2015

Hari Raya Datang Lagi....




Hari Raya tahun lepas masih segar lagi dalam ingatan namun kini datang lagi Hari Raya 2015. Apa-apapun, bersyukur kerana masih lagi dapat bersama keluarga meraikan hari lebaran yang dinanti-nantikan ini. Tahun ini, suasananya agak berbeza sedikit kerana ahli keluarga sudah bertambah seorang iaitu menantuku Adib Fakhrullah, suami along Mashitah. Aktiviti  menyambut Hari Raya tidak jauh berbeza seperti yang sudah-sudah. Pagi hari raya berkumpul bersama keluarga, makan-makan, saling bermaafan, ke masjid menunaikan solat Aidilfitri dan pergi menziarahi sanak saudara. Alhamdulillah kerana anak-anak semuanya ada dan dapatlah kami beraya sakan pada tahun ini. Raya tahun hadapan tak tahu lagi kerana khabarnya angah Fauzan tak boleh balik. Apa-apapun raya tahun ini kita beraya sakan. Syukur, alhamdulillah....

30 April 2015

Harapan... Semoga Kejayaan Akan Terus Mengekoriku....

Seperti tahun-tahun  sudah, aktiviti melatih peserta bagi pertandingan bahasa sudah tidak boleh dielakkan lagi walaupun dalam keadaan suka atau sebaliknya. Hendak dibiarkan sahaja anak didikku, tidaklah sampai hati kerana pada pendapatku mereka mempunyai bakat semula jadi yang perlu digilap agar ianya bercahaya. Aku beranggapan muridku itu ibarat kain putih. Akulah yang akan mewarnainya dengan apa sahaja warna yang aku sukai. Ternyata setelah digilap, sirnanya nampak bergemerlapan. Setakat hari ini, anak didik yang berhasil aku gilap bakatnya adalah dalam pesta pantun. Mereka hanya dapat aku bawa hingga ke tahap peringkat negeri sahaja walaupun bercita-cita untuk sampai ke peringkat kebangsaan. Sudah berusaha, namun setakat di situ sahaja kejayaan yang mampu mereka raih. Mungkin setakat di situ sahaja rezeki mereka. Rasa puas juga kerana pada tahun lepas tiada kejayaan dalam pesta pantun peringkat daerah. Kejayaan yang diraih pada kali ini menunjukkan ada sedikit peningkatan. Dalam pertandingan Sahibba pula, setakat hari ini, masih dapat mengekalkan prestasi di peringkat daerah, namun muridku tidaak dapat mengekalkan kejuaraan di peringkat negeri seperti tahunlepas. Hanya memperoleh tempat ketiga dan saguhati. Walau bagaimanapun, kekecewaan terubat apabila anak sendiri yang mewakili peserta Sahibba peringkat sekolah menengah telah mendapat tempat johan di peringkat negeri dan akan mewakili NS ke peringkat Kebangsaan, manakala Nursalina dan Nur Arissa bekas murid tahun lepas mendapat saguhati. Nak cerita perasaan, memang amat gembira dan berharap anakku Siti Mawaddah menggantikan tempat Nursalina yang menjadi Juara Kebangsaan pada tahun lepas, Tak dapat anak murid, anak sendirilah pulak. Doakanlah agar anakku ini beroleh kejayaan menjadi Johan Kebangsaan, Amin..





Alhamdulillah, anak bongsu saya, Siti Mawaddah berjaya melayakkan diri mewakili N.Sembilan ke pertandingan Sahibba peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Dia terpaksa bertarung dengan  seramai 16 orang peserta lain dari seluruh Malaysia. Namun adat bertanding ada yang menang dan ada yang kalah. Mawaddah hanya berjaya pada pusingan pertama sahaja dan kalah pada pusingan yang seterusnya. Redhalah dengan apa yang diperoleh, mungkin setakat di situ rezekinya. Walaupun tidak berjaya menggondol kejayaan dalam pertandingan itu, namun anak bongsu saya itu mendapat hadiah saguhati berupa wang tunai RM 250 serta hadiah iringan yang lain. Pengalaman itulah yang sebenar mahal harganya. Teruskan berusaha wahai anakku. Tidak berjaya di sini namun insya-Allah berjaya pada lain acara.Teruskanlah perjuanganmu.. 



02 March 2015

Sahibba Oh Sahibba...




Selamat datang tahun 2015. Bagaimana agaknya perjalanan sepanjang tahun ini? Ya,masih menjadi teka-teki. Namun, saya berharap, biarlah segala yang akan ditempuhi, mendatangkan kebaikan kepada diri ini dan orang lain. Seawal bulan Februari, program Sahibba telah mendahului program yang lain. Bermula dengan ceramah Sahibba kepada hampir 50 orang guru sekolah menengah daerah Seremban yang diadakan di SMK Datok Sahardin, Labu. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik, . 
 Yang ini pula ialah ceramah Sahibba di SK Ulu Beranang kepada guru-guru dan murid-murid  sekolah itu. Tahun ini nak masuk bertanding, kata cikgu-cikgu sekolah itu dengan bersemangat. Alhamdulillah, pertandingan Sahibba di peringkat daerah, murid dari sekolah ini telah berjaya mendapat tempat Naib Johan dan Ketiga serta layak pergi ke peringkat Negeri. Rasa puas juga kerana ilmu yang aku curahkan sudah menampakkan hasil tetapi jangan melawan toke sudahlah ye...

19 January 2015

Jalan-jalan Cari Pengalaman....





Alhamdulillah, tercapai juga hasrat hati untuk melihat tempat belajar anak bujang saya yang telah setahun  di Universiti Hasanuddin, Makassar. Di samping itu, saya tidak melepaskan peluang untuk melihat tempat-tempat menarik yang terdapat di sana. Terpesona melihat keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara serta tempat-tempat bersejarahnya. Jika dibandingkan keadaan kehidupan masyarakat  yang tinggal di sana, seharusnya saya  berasa amat bersyukur  kerana  dikurniakan kehidupan yang senang, negara yang aman, bersih dan maju. Saya cuma berharap Fauzan dapat belajar dengan bersungguh-sungguh di sana serta belajar juga kesusahan dan cabaran berada di negara orang. 

04 January 2015

Selamat Pengantin Baru Along....

Majlis Perkahwinan Siti Mashitah bt. Mustapha & Adib Fakhrullah b. Azmi








Tanggal 27 Disember 2014, selamatlah anak sulongku, Siti Mashitah diijabkabulkan dengan pasangan hidupnya, Adib Fakhrullah bin Azmi. Alhamdulillan, majlis perkahwinan tersebut berlansung dengan meriah berkat kerjasama daripada sanak saudara dan jiran tetangga. Pesanan buat along, taatlah kepada suami dan jadilah isteri yang terbaik.  Emak dan ayah hanya mampu mendoakan agar kalian akan dapat menjalani kehidupan yang berbahagia  di samping dikurniakan cahayamata yang soleh dan solehah. Amin...