11 February 2016

Selamat Datang 2016, Semoga Perjalanan Lebih Indah

Tahun 2015 sudah berlalu, kini 2016 menjelma pula. Sungguh pantas masa berlalu, sedar tidak sedar, usia juga semakin meningkat dan sudah hampir ke penghujung sempadan..Tahun demi tahun, tugasan sebagai pendidik semakin mencabar. Tambahan pula bagi saya yang dikategorikan sebagai Generasi X yang merupakan generasi yang sedikit terkebelakang dan sering di stereotype sebagai generasi yang susah untuk melakukan perubahan perlu menghadapi dunia baharu ini dengan cekal. Bagi saya, walaupun pelbagai cabaran perlu ditempuh seiring dengan kemajuan teknologi yang seakan tidak mampu dibendung perkembangannya, saya perlu menyahut cabaran ini demi kebaikan bersama. Tugas yang digalas sebagai guru dan pentadbir perlu saya jalankan dengan baik. Perancangan saya pada tahun baharu ini usaha perlu dimantapkan lagi lebih-lebih lagi dalam bidang kokurikulum sekolah. Saya berharap segala apa yang saya lakukan akan dapat memberi manfaat kepada semua orang dan mendatangkan kejayaan yang cemerlang.  Saya berharap kepada rakan-rakan sealiran, bersama-sama kita bertekad dan berusaha demi kebaikan semua orang dan kejayaan yang diharapkan.

29 July 2015

Hari Raya Datang Lagi....




Hari Raya tahun lepas masih segar lagi dalam ingatan namun kini datang lagi Hari Raya 2015. Apa-apapun, bersyukur kerana masih lagi dapat bersama keluarga meraikan hari lebaran yang dinanti-nantikan ini. Tahun ini, suasananya agak berbeza sedikit kerana ahli keluarga sudah bertambah seorang iaitu menantuku Adib Fakhrullah, suami along Mashitah. Aktiviti  menyambut Hari Raya tidak jauh berbeza seperti yang sudah-sudah. Pagi hari raya berkumpul bersama keluarga, makan-makan, saling bermaafan, ke masjid menunaikan solat Aidilfitri dan pergi menziarahi sanak saudara. Alhamdulillah kerana anak-anak semuanya ada dan dapatlah kami beraya sakan pada tahun ini. Raya tahun hadapan tak tahu lagi kerana khabarnya angah Fauzan tak boleh balik. Apa-apapun raya tahun ini kita beraya sakan. Syukur, alhamdulillah....

30 April 2015

Harapan... Semoga Kejayaan Akan Terus Mengekoriku....

Seperti tahun-tahun  sudah, aktiviti melatih peserta bagi pertandingan bahasa sudah tidak boleh dielakkan lagi walaupun dalam keadaan suka atau sebaliknya. Hendak dibiarkan sahaja anak didikku, tidaklah sampai hati kerana pada pendapatku mereka mempunyai bakat semula jadi yang perlu digilap agar ianya bercahaya. Aku beranggapan muridku itu ibarat kain putih. Akulah yang akan mewarnainya dengan apa sahaja warna yang aku sukai. Ternyata setelah digilap, sirnanya nampak bergemerlapan. Setakat hari ini, anak didik yang berhasil aku gilap bakatnya adalah dalam pesta pantun. Mereka hanya dapat aku bawa hingga ke tahap peringkat negeri sahaja walaupun bercita-cita untuk sampai ke peringkat kebangsaan. Sudah berusaha, namun setakat di situ sahaja kejayaan yang mampu mereka raih. Mungkin setakat di situ sahaja rezeki mereka. Rasa puas juga kerana pada tahun lepas tiada kejayaan dalam pesta pantun peringkat daerah. Kejayaan yang diraih pada kali ini menunjukkan ada sedikit peningkatan. Dalam pertandingan Sahibba pula, setakat hari ini, masih dapat mengekalkan prestasi di peringkat daerah, namun muridku tidaak dapat mengekalkan kejuaraan di peringkat negeri seperti tahunlepas. Hanya memperoleh tempat ketiga dan saguhati. Walau bagaimanapun, kekecewaan terubat apabila anak sendiri yang mewakili peserta Sahibba peringkat sekolah menengah telah mendapat tempat johan di peringkat negeri dan akan mewakili NS ke peringkat Kebangsaan, manakala Nursalina dan Nur Arissa bekas murid tahun lepas mendapat saguhati. Nak cerita perasaan, memang amat gembira dan berharap anakku Siti Mawaddah menggantikan tempat Nursalina yang menjadi Juara Kebangsaan pada tahun lepas, Tak dapat anak murid, anak sendirilah pulak. Doakanlah agar anakku ini beroleh kejayaan menjadi Johan Kebangsaan, Amin..





Alhamdulillah, anak bongsu saya, Siti Mawaddah berjaya melayakkan diri mewakili N.Sembilan ke pertandingan Sahibba peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Dia terpaksa bertarung dengan  seramai 16 orang peserta lain dari seluruh Malaysia. Namun adat bertanding ada yang menang dan ada yang kalah. Mawaddah hanya berjaya pada pusingan pertama sahaja dan kalah pada pusingan yang seterusnya. Redhalah dengan apa yang diperoleh, mungkin setakat di situ rezekinya. Walaupun tidak berjaya menggondol kejayaan dalam pertandingan itu, namun anak bongsu saya itu mendapat hadiah saguhati berupa wang tunai RM 250 serta hadiah iringan yang lain. Pengalaman itulah yang sebenar mahal harganya. Teruskan berusaha wahai anakku. Tidak berjaya di sini namun insya-Allah berjaya pada lain acara.Teruskanlah perjuanganmu.. 



02 March 2015

Sahibba Oh Sahibba...




Selamat datang tahun 2015. Bagaimana agaknya perjalanan sepanjang tahun ini? Ya,masih menjadi teka-teki. Namun, saya berharap, biarlah segala yang akan ditempuhi, mendatangkan kebaikan kepada diri ini dan orang lain. Seawal bulan Februari, program Sahibba telah mendahului program yang lain. Bermula dengan ceramah Sahibba kepada hampir 50 orang guru sekolah menengah daerah Seremban yang diadakan di SMK Datok Sahardin, Labu. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik, . 
 Yang ini pula ialah ceramah Sahibba di SK Ulu Beranang kepada guru-guru dan murid-murid  sekolah itu. Tahun ini nak masuk bertanding, kata cikgu-cikgu sekolah itu dengan bersemangat. Alhamdulillah, pertandingan Sahibba di peringkat daerah, murid dari sekolah ini telah berjaya mendapat tempat Naib Johan dan Ketiga serta layak pergi ke peringkat Negeri. Rasa puas juga kerana ilmu yang aku curahkan sudah menampakkan hasil tetapi jangan melawan toke sudahlah ye...

19 January 2015

Jalan-jalan Cari Pengalaman....





Alhamdulillah, tercapai juga hasrat hati untuk melihat tempat belajar anak bujang saya yang telah setahun  di Universiti Hasanuddin, Makassar. Di samping itu, saya tidak melepaskan peluang untuk melihat tempat-tempat menarik yang terdapat di sana. Terpesona melihat keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara serta tempat-tempat bersejarahnya. Jika dibandingkan keadaan kehidupan masyarakat  yang tinggal di sana, seharusnya saya  berasa amat bersyukur  kerana  dikurniakan kehidupan yang senang, negara yang aman, bersih dan maju. Saya cuma berharap Fauzan dapat belajar dengan bersungguh-sungguh di sana serta belajar juga kesusahan dan cabaran berada di negara orang. 

04 January 2015

Selamat Pengantin Baru Along....

Majlis Perkahwinan Siti Mashitah bt. Mustapha & Adib Fakhrullah b. Azmi








Tanggal 27 Disember 2014, selamatlah anak sulongku, Siti Mashitah diijabkabulkan dengan pasangan hidupnya, Adib Fakhrullah bin Azmi. Alhamdulillan, majlis perkahwinan tersebut berlansung dengan meriah berkat kerjasama daripada sanak saudara dan jiran tetangga. Pesanan buat along, taatlah kepada suami dan jadilah isteri yang terbaik.  Emak dan ayah hanya mampu mendoakan agar kalian akan dapat menjalani kehidupan yang berbahagia  di samping dikurniakan cahayamata yang soleh dan solehah. Amin...

18 November 2014

Modal Insan Terbilang




Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi berakhirnya sesi persekolahan bagi tahun 2014. Alhamdulillah, kerana pada tahun ini, sekolahku dapat melahirkan seorang murid yang mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum ke tahap yang cukup membanggakanku sebagai seorang GPK Koko iaitu Anugerah Modal Insan Terbilang. Anugerah itu telah disandang oleh Nursalina yang begitu hebat dalam semua bidang iaitu kokurikulum, akademik dan sahsiah . Pencapaian inilah yang diharap-harapkan oleh semua pendidik yang bertungkus-lumus membimbing   anak murid mereka ke arah modal insan cemerlang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Tahniah Nursalina, cikgu hanya menumpang kegembiraan. Semoga terus cemerlang di dunia dan akhirat.


13 November 2014

Karnival Bahasa Peringkat Kebangsaan

Bergambar kenangan: Sarinah (PD) Roshayati(Jelebu),Norizan(Keru),Hashimah(Rembau),
Wan Rajaah(PD),  Cik Siti Khadijah(Koko KPM),
Norhisham(Tampin),Rofidah(Rembau),Norazlina(K.Pilah) dan Fatimah(Mambau)

Pertemuan dengan rakan-rakan hakim semasa Program Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Glory Beach Resort, Port Dickson amat menyeronokkan dan meninggalkan pelbagai kenangan manis. Kami bertugas sebagai urus setia program selama 3 hari. Kalau tidak ada program seperti ini, kami memang sukar bertemu, maklum masing-masing tinggal berjauhan walaupun dalam negeri yang sama. Sambil bertugas, kami dapat bertukar-tukar idea dan bergurau senda.  Diharap kami akan berjumpa lagi pada program yang lain pula.



21 October 2014

Tahniah Anak-Anak Didikku, Kalian Memang Hebat !!!




Sudah lama menyepi diri tanpa berita,maklum sibuk dengan tugasan di sekolah,mengajar murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR dan melatih murid-murid yang akan mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan. Alhamdulillah, UPSR sudah berlalu, legalah sedikit rasanya. Baru-baru ini, saya telah menghantar murid dalam Pertandingan Puisi Tradisional peringkat kebangsaan anjuran sekolah kluster. Semua sekolah yang menyertai pertandingan tersebut dari sekolah kluster kecuali sekolah sendiri. Gerun juga nak bersaing dengan mereka. Namun kucekalkan hati dengan memberi latihan yang sepenuhnya kepada anak didik. Aku ingin membuktikan bahawa sekolah kampung yang terpencil ini mampu bersaing dan mengalahkan sekolah kluster yang hebat. Alhamdulillah, rezeki di pihak murid-muridku.  Semua acara yang disertai mendapat kemenangan. Pertandingan pantun mendapat tempat kedua di samping menjadi pemantun terbaik, Pertandingan Seloka di tempat ketiga dan pertandingan Syair di tempat ketiga juga. Gembira tidak terkira dan bersyukur, ternyata usaha melatih murid-muridku tidak sia-sia. Puas rasanya tatkala melihat anak muridku menjulang piala kemenangan yang diidam-idamkan. Tahniah murid-muridku, terbukti kalian memang hebat. Jadi, kata kunci untuk kejayaan adalah berusaha, berdoa dan bertawakkal. 


03 August 2014

Meriahnya Raya 2014

Khatam Al-Quran sebelum menyambut Hari Raya.
Sarapan bersama ahli keluarga sebelum pergi bersembahyang raya di masjid.
Ha, inilah tema baju raya kami pada tahun ini , ungu. Senyum gembira kerana dapat berkumpul  dengan    semua ahli keluarga pada pagi Hari Raya.Bukan senang dapat bersama seperti ini. Semoga keriangan ini akan terus berkekalan hendaknya.
Anak-anak bergambar kenangan dengan nenek tersayang.
Seronok dapat berkumpul bersama sepupu sambil  makan juadah pada pagi  Hari Raya 

Jom beraya ! Seronoknya beraya dan dapat menziarahi rumah sanak saudara.
Berehat sebentar setelah penat beraya di rumah saudara-mara.




22 June 2014

Bulan Jun yang Penuh Bermakna dan Memberi Banyak Pengalaman yang Manis

Tiga orang murid mendapat tempat Johan, Naib Johan dan Ketiga  dalam pertandingan Sahibba peringkat Negeri Sembilan
 
Menjadi hakim Pesta Pantun peringkat Kebangsaan
 
Murid mendapat johan pertandingan Sahibba peringkat Kebangsaan
Kepulangan Bangah bercuti setelah hampir setahun belajar di negara seberang


     Tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia hanya tuhan yang tahu. Bulan Jun ini   memberi banyak tuah
samada kepada diri sendiri, anak didik atau anak sendiri. Alhamdulillah, syukurku kepada pencipta alam atas nikmat kurniaannya. Bermula dengan kejayaan yang diperoleh anak didik, hasil kerja keras mereka berlatih bermain Sahibba telah membuahkan kejayaan yang amat membanggakan di mana ketiga-tiga orang peserta Sahibba yang dilatih sejak awal tahun telah berjaya menggondol tempat Johan,Naib Johan dan Ketiga yang menjadi perbualan hangat di daerah lain. Paling membanggakan, murid yang dilatih berjaya pula dalam pertandingan Sahibba peringkat Kebangsaan.Tercapai targetku setelah 3 tahun berjuang dalam pertandingan Sahibba ini. Selang esoknya, diri ini pula terpilih  menjadi hakim pertandingan pantun peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur. Seterusnya, dua orang anak sendiri berjaya mendapat tawaran belajar di IPG dalam kos yang dipohon. Kakcik di Kedah manakala Kakteh di Melaka. Memang jiwa anak-anak seperti jiwaku juga, mencintai dunia pendidikan. Pada ambang menyambut Ramadhan anak kedua yang belajar di Indonesia pulang bercuti setelah hampir setahun belajar di sana. Bulan Jun ini memang banyak membawa kegembiraan. Semoga kejayaan dan kegembiraan akan terus mengekori diriku ini. Amin... Terima kasih kepada semua yang menyokong.