Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi berakhirnya sesi persekolahan bagi tahun 2014. Alhamdulillah, kerana pada tahun ini, sekolahku dapat melahirkan seorang murid yang mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum ke tahap yang cukup membanggakanku sebagai seorang GPK Koko iaitu Anugerah Modal Insan Terbilang. Anugerah itu telah disandang oleh Nursalina yang begitu hebat dalam semua bidang iaitu kokurikulum, akademik dan sahsiah . Pencapaian inilah yang diharap-harapkan oleh semua pendidik yang bertungkus-lumus membimbing anak murid mereka ke arah modal insan cemerlang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Tahniah Nursalina, cikgu hanya menumpang kegembiraan. Semoga terus cemerlang di dunia dan akhirat.
18 November 2014
13 November 2014
Karnival Bahasa Peringkat Kebangsaan
Bergambar kenangan: Sarinah (PD) Roshayati(Jelebu),Norizan(Keru),Hashimah(Rembau),
Wan Rajaah(PD), Cik Siti Khadijah(Koko KPM),
Norhisham(Tampin),Rofidah(Rembau),Norazlina(K.Pilah) dan Fatimah(Mambau)
Pertemuan dengan rakan-rakan hakim semasa Program Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Glory Beach Resort, Port Dickson amat menyeronokkan dan meninggalkan pelbagai kenangan manis. Kami bertugas sebagai urus setia program selama 3 hari. Kalau tidak ada program seperti ini, kami memang sukar bertemu, maklum masing-masing tinggal berjauhan walaupun dalam negeri yang sama. Sambil bertugas, kami dapat bertukar-tukar idea dan bergurau senda. Diharap kami akan berjumpa lagi pada program yang lain pula.
21 October 2014
Tahniah Anak-Anak Didikku, Kalian Memang Hebat !!!
Sudah lama menyepi diri tanpa berita,maklum sibuk dengan tugasan di sekolah,mengajar murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR dan melatih murid-murid yang akan mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan. Alhamdulillah, UPSR sudah berlalu, legalah sedikit rasanya. Baru-baru ini, saya telah menghantar murid dalam Pertandingan Puisi Tradisional peringkat kebangsaan anjuran sekolah kluster. Semua sekolah yang menyertai pertandingan tersebut dari sekolah kluster kecuali sekolah sendiri. Gerun juga nak bersaing dengan mereka. Namun kucekalkan hati dengan memberi latihan yang sepenuhnya kepada anak didik. Aku ingin membuktikan bahawa sekolah kampung yang terpencil ini mampu bersaing dan mengalahkan sekolah kluster yang hebat. Alhamdulillah, rezeki di pihak murid-muridku. Semua acara yang disertai mendapat kemenangan. Pertandingan pantun mendapat tempat kedua di samping menjadi pemantun terbaik, Pertandingan Seloka di tempat ketiga dan pertandingan Syair di tempat ketiga juga. Gembira tidak terkira dan bersyukur, ternyata usaha melatih murid-muridku tidak sia-sia. Puas rasanya tatkala melihat anak muridku menjulang piala kemenangan yang diidam-idamkan. Tahniah murid-muridku, terbukti kalian memang hebat. Jadi, kata kunci untuk kejayaan adalah berusaha, berdoa dan bertawakkal.
03 August 2014
Meriahnya Raya 2014
Khatam Al-Quran sebelum menyambut Hari Raya.
Sarapan bersama ahli keluarga sebelum pergi bersembahyang raya di masjid.
Ha, inilah tema baju raya kami pada tahun ini , ungu. Senyum gembira kerana dapat berkumpul dengan semua ahli keluarga pada pagi Hari Raya.Bukan senang dapat bersama seperti ini. Semoga keriangan ini akan terus berkekalan hendaknya.
Anak-anak bergambar kenangan dengan nenek tersayang.
Seronok dapat berkumpul bersama sepupu sambil makan juadah pada pagi Hari Raya
Berehat sebentar setelah penat beraya di rumah saudara-mara.
22 June 2014
Bulan Jun yang Penuh Bermakna dan Memberi Banyak Pengalaman yang Manis
Tiga orang murid mendapat tempat Johan, Naib Johan dan Ketiga dalam pertandingan Sahibba peringkat Negeri Sembilan
Menjadi hakim Pesta Pantun peringkat Kebangsaan
Murid mendapat johan pertandingan Sahibba peringkat Kebangsaan
Kepulangan Bangah bercuti setelah hampir setahun belajar di negara seberang
Tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia hanya tuhan yang tahu. Bulan Jun ini memberi banyak tuah
samada kepada diri sendiri, anak didik atau anak sendiri. Alhamdulillah, syukurku kepada pencipta alam atas nikmat kurniaannya. Bermula dengan kejayaan yang diperoleh anak didik, hasil kerja keras mereka berlatih bermain Sahibba telah membuahkan kejayaan yang amat membanggakan di mana ketiga-tiga orang peserta Sahibba yang dilatih sejak awal tahun telah berjaya menggondol tempat Johan,Naib Johan dan Ketiga yang menjadi perbualan hangat di daerah lain. Paling membanggakan, murid yang dilatih berjaya pula dalam pertandingan Sahibba peringkat Kebangsaan.Tercapai targetku setelah 3 tahun berjuang dalam pertandingan Sahibba ini. Selang esoknya, diri ini pula terpilih menjadi hakim pertandingan pantun peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur. Seterusnya, dua orang anak sendiri berjaya mendapat tawaran belajar di IPG dalam kos yang dipohon. Kakcik di Kedah manakala Kakteh di Melaka. Memang jiwa anak-anak seperti jiwaku juga, mencintai dunia pendidikan. Pada ambang menyambut Ramadhan anak kedua yang belajar di Indonesia pulang bercuti setelah hampir setahun belajar di sana. Bulan Jun ini memang banyak membawa kegembiraan. Semoga kejayaan dan kegembiraan akan terus mengekori diriku ini. Amin... Terima kasih kepada semua yang menyokong.
09 June 2014
Tahniah Kakcik kerana Berjaya Mengikut Jejak Langkah Kakak
Hari ini, kakcik mendaftar untuk menjadi mahasisiwi di UIAM Petaling Jaya. Kakcik mengambil asasi selama setahun di sini. Jelas terbayang perasaan gembira pada wajahnya kerana dapat belajar di UIAM mengikut jejak langkah Along Mashitah walaupun berlainan kos. Diharap kakcik dapat menunjukkan kecemerlangan dalam bidang yang diambil .
Inilah sahaja ahli keluarga yang sempat mengiringi Kakcik. Dua anak yang lain tidak ada cuti. Semuanya berharap agar kakcik gembira belajar di sini dan berjaya mencapai cita-cita yang diharapkan.
12 May 2014
Meraikan Konvokesyen Anak Ketiga
Alhamdulillah, hari ini anak ketiga kami , Siti Muslihah meraikan hari konvokesyennya
setelah menamatkan pengajiannnya dalam bidang Sains Pentadbiran Awam di UiTM
Melaka. Tahniah daripada emak, ayah dan adik- beradik. Teruskan usaha untuk
menyambung pengajian pada tahap yang lebih tingggi lagi dan semoga lebih berjaya. Amin...
Kaklang tersenyum gembira di sisi emak dan ayah.
Bergambar kenangan bersama sebahagian daripada ahli keluarga.
Ini sahaja yang sempat hadir.
Kegembiraan dikongsi bersama adik-adik dan kakak.
Tersenyum bangga di sisi rakan seperjuangan.
10 May 2014
Letih Dengan Aktiviti Koakademik Namun Menyeronokkan ...
Bulan Mac,April dan Mei muncul lagi. Bermulalah aku dengan kesibukan melatih peserta sekolah dalam aktiviti pertandingan koakademik Bahasa Melayu. Namun kesibukan ini selalunya mendatangkan keseronokan dan kepuasan kepada diriku tatkala keberhasilan anak yang dididik dalam menggondol beberapa kejayaan.Targetku tahun ini ialah ingin membawa anak didikku ke peringkat kebangsaan dalam beberapa acara terutamanya Sahibba, Amin. Perkenankanlah ya Allah... Malulah kalau tidak berjaya...dah masuk tahun ketiga ni..
Sedang memberi ceramah Sahibba kepada guru-guru daerah Seremban.
Sedang memerhati dan melatih peserta kursus bermain Sahibba dengan cara yang betul.
Rakan hakim Sahibba yang setia memikul tanggungjawab apabila diperlukan.
Nah, inilah hasil anak didik yang telah berjaya menggondol hadiah di tempat Johan, Naib Johan dan Ketiga di peringkat daerah .Harap berjaya juga di peringkat negeri dan kebangsaan ye! Amin..
Yang ini pula kejayaan peserta sekolah dalam pertandingan karnival bahasa, johan bercerita,johan pidato dan ketiga mengarang tahap 1 dan 2. Semoga mereka terus kekal berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan pula. Tiada yang mustahi jika mereka terus berusaha kerana usaha tangga kejayaan...
Selesai pertandingan bahasa, berkursus pantun pula di Hotel Morib. Seronok dapat banyak pengalaman berkaitan seni warisan Melayu yang semakin dilupai dan berkenal-kenalan dengan guru bahasa di seluruh negara.
Peserta kursus pantun peringkat kebangsaan yang akan memikul tugas sebagai teknikal pantun negeri masing-masing. Maka bertambah beratlah tanggungjawab yang bakal dipikul pada tahun hadapan. Namun demi minat yang mendalam terhadap seni bahasa akan kucuba laksanakan tugas ini sebaik yang mungkin, insyaAllah...
21 March 2014
Tamatnya Suatu Penantian.....
Tanggal 20 Mac 2014, berakhirlah penantian Kakcik Siti Murnizah, anak kelima kami untuk mengetahui keputusan SPMnya. Syukur kepada Allah sekali lagi kerana Kakcik telah mendapat keputusan yang agak baik. Tahniah daripada emak dan ayah serta adik-beradik yang lain. Apa yang diharapkan ialah agar Kakcik akan dapat menyambung pelajarannya di universiti yang diimpikan dalam kos yang dipilih. Sama-samalah kita berdoa ya Kakcik agar mendapat apa yang dihajatkan. Amin..
15 March 2014
Menyambung Pengajian....
Syukur alhamdulillah kerana Kaklang dapat menyambung pelajarannya di UiTM Merbok, Kedah. Walaupun terletak jauh di utara, namun apa salahnya sekali-sekala berjauhan kerana jauh berjalan luas pengalaman... Semoga Kaklang dapat belajar dengan baik di sana dan mencapai apa yang diimpikan. Jaga diri baik-baik ye dan belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Emak, ayah dan adik-beradik sentiasa mendoakan kejayaan Kaklang.
14 March 2014
Selamat Datang Tahun 2014
Kepada sahabat dan saudara-maraku semua, diharapkan semoga tahun ini kita lebih bersemangat. Tinggalkan segala keburukan yang ada dalam diri kita, bina semangat yang baharu dan gandakan usaha demi mencapai apa yang diimpikan. Insya-Allah segala niat kita yang baik akan dimakbulkan oleh maha pencipta. Semoga tahun 2014 akan mendatangkan seribu kebaikan dan keberkatan kepada kita semua .Amin......
Subscribe to:
Posts (Atom)